Kegunaan minyak evening primrose bukanlah sesuatu yang baru, malah
secara tradisionalnya ia telah digunakan oleh masyarakat asli Amerika
untuk menangani masalah kulit dan keseluruhan pokoknya direbus untuk
masalah batuk, sakit kerongkong, artritis, lebam dan beberapa lagi.
Pada
kurun ke-20 ahli saintis Jerman mengetahui bahawa minyak daripada biji
evening primrose boleh diekstrak. Hasil analisis mendapati bahawa
minyaknya kaya dengan asid lemak perlu (EFAs), iaitu linoleik (LA) dan
asid gamma-linolenik (GLA).
Kandungannya yang kaya dengan GLA
ini semakin mendapat perhatian dan kajian tidak terhenti begitu sahaja,
malah kini ia dikenali dan digunakan di seluruh dunia.
Keajaiban
dan kemujaraban kandungan minyak evening primrose ini mendapat
pengiktirafan banyak pihak untuk menyokong kegunaannya ke atas beberapa
masalah kesihatan termasuklah sindrom prahaid (PMS), artritis
reumatoid, diabetik neuropati (masalah terjejasnya fungsi saraf akibat
diabetes), ekzema, kesakitan payudara, alergi, menopos dan beberapa
lagi. Ini menjadikan tumbuhan yang berasal dari Amerika Tengah ini
semakin berkembang dan lebih dikenali.
Asid-asid lemak perlu
(EFA) adalah kumpulan lemak politaktepu yang penting untuk fungsi
tubuh. Asid lemak perlu merupakan komponen membran sel dan sel-sel
saraf. Ia juga membantu mengekalkan intergriti membran-membran sel yang
membenarkan nutrien-nutrien memasuki sel-sel dan penyingkiran bahan
buangan. Asid-asid lemak ini juga menyumbang kepada kebendaliran
membran sel untuk membolehkan komunikasi antara sel-sel berlaku.
Bagi
mereka yang mengalami sesetengah masalah kesihatan seperti diabetes,
pengambilannya mungkin lebih diperlukan kerana penukaran linoleic acid
kepada GLA menjadi lebih sukar dan perlahan. Ini penting kerana untuk
membolehkan ia digunakan sepenuhnya oleh tubuh, ia perlu ditukar kepada
GLA.
Selain itu, faktor pemakanan dan gaya hidup juga boleh
menjejaskan penukaran ini. Ini merangkumi makanan yang tinggi dengan
lemak tepu, makanan proses, kolesterol, gula dan alkohol, stres dan
peningkatan usia. Penukaran yang lemah ini boleh mengakibatkan paras
prostaglandin yang lebih rendah.
Prostaglandin adalah bahan yang
menyerupai hormon yang bertanggungjawab kepada beberapa fungsi tubuh,
termasuklah dalam pengawalan tekanan darah, merehatkan salur darah untuk
peredaran darah yang lebih baik, mencegah pembekuan darah, menghalang
sintesis kolesterol, mengawal tindak balas hormon dalam sistem
reproduktif dan juga mengawal paras insulin dan sebagainya.
Pengambilan
asid lemak melalui makanan harian adalah perlu memandangkan ia tidak
boleh dihasilkan oleh tubuh. Sumber GLA daripada makanan agak terhad dan
hanya boleh dijumpai dengan jumlah yang kecil dalam oat dan juga
daging organ. Untuk memperolehi sejumlah GLA yang lebih tinggi atas
alasan kesihatan tertentu, minyak yang diekstrak daripada biji bunga
evening primrose, iaitu dalam bentuk suplemen merupakan alternatif yang
lebih mudah dan menyenangkan.
Dengan itu, jika diambil kira
faktor-faktor seperti peningkatan usia, faktor kesihatan, pemakanan dan
gaya hidup kini, pengambilan minyak evening primrose boleh memberi
manfaat kepada wanita sama ada untuk alasan kesihatan mahupun kecantikan
secara umum.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan